ADA yang tak biasa dengan kehidupan rumahtangga Rudi. Ayah dua orang anak perempuan itu sangat tekun merawat anak-anaknya sepanjang dia berada di rumah. Hampir setiap hari terlihat dia sibuk menyapu, kadang-kadang juga menjemur pakaian, bahkan tanpa segan silu menidurkan anak keduanya yang baru berusia 8 bulan itu. Pemandangan ini, tentu saja, menjadi perbincangan hangat di mata tetangga-tetangga dekat. “Mengapa Rudi mengerjakan semuanya itu?” “Isteri Rudi tak tahu apa, tergamak sekali suruh suami buat begitu!” Kira-kira begitulah cakap-cakap sekitar menilai peranan Rudi dan isterinya. Tanggapan demikian memang sangat berdasar, mengingat dalam kaca mata umum, urusan rumahtangga adalah mutlak kewajipan isteri. Suami sebagai ketua rumahtangga dan pencari nafkah, tak perlu masuk ke dalam ruang khusus milik para isteri. Maka bila sampai suami ‘melakoni’ salah satu saja dari rutin kerumahtanggaan, yang akan segera disalahkan adalah isterinya.
Padahal boleh jadi yang dilakukan suami berdasarkan pada kerelaannya, rasa mahu menolong isterinya, atau kerana sudah terbiasa dari dulu hidup berdikari, serta apa-apa alasan lain yang membuatnya ringan tangan membantu isterinya. Bila kita menoleh kisah kehidupan rumahtangga Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya, justeru yang sering tersurat adalah mirip yang dilakukan oleh Rudi. Kisah Saad bin Amir, salah satunya. Lelaki yang diangkat oleh Umar bin Khattab menjadi gabenor di kota Himsh itu sering dikritik penduduk Himsh gara-gara sering lambat ke pejabat. Alasannya, dia selalu kesibukan kerana tidak mempunyai pembantu. Tidak ada orang yang biasa disuruh memasak untuk isterinya, atau mencuci baju isterinya. Ali bin Abi Thalib, si menantu Rasulullah s.a.w., pun demikian. Kerana cintanya yang melimpah ruah kepada Fatimah, ia memberanikan diri menghadap Rasulullah, meminta seorang pelayan untuk membantu isterinya. Namun Rasulullah tidak mengkabulkannya. Sebab itulah Ali langsung turun tangan membantu pekerjaan rumah. Dan bukankah Rasulullah s.a.w. sendiri tanpa segan pergi ke pasar, berbelanja, menjahit bajunya yang terkoyak, memperbaiki kasutnya yang rosak tanpa menunggu isterinya melakukan untuk dirinya?
Teropong Pendapat Mazhab
Dalam penelusuran Ahmad Sarwat yang disampaikannya dalam sesi tanya jawab, ternyata empat mazhab besar serta Mazhab Zahiri, semua sepakat mengatakan bahawa para isteri hakikatnya tidak punya kewajipan untuk berkhidmat kepada suaminya. Al-Imam Al-Kasani, dari kalangan Hanafiyah dalam kitab Al-Badai menyebutkan, seandainya suami pulang membawa bahan makanan yang masih harus dimasak dan diolah, lalu isterinya enggan untuk memasak dan mengolahnya, maka si isteri tidak boleh dipaksa. Suaminya diperintahkan untuk pulang membawa makanan yang siap untuk dimakan. Sementara dalam Al-Fatawa Al-Hidayah fi Fiqhil Hanafiyah disebutkan, seandainya seorang isteri berkata, “Saya tidak mahu masak dan membuat roti”, maka isteri tidak boleh dipaksa untuk melakukannya. Suami pun harus memberinya makanan siap makan, atau menyediakan pembantu untuk memasak makanan. Adapun Mazhab Maliki yang dikumandangkan dalam kitab asy-Syarhul Kabir karangan Ad-Dardir, disebutkan bahawa suami wajib berkhidmat (melayani) isterinya. Meski suami memiliki keluasan rezeki sementara isterinya punya kemampuan untuk berkhidmat, namun tetap kewajipan isteri bukan berkhidmat. Suami adalah pihak yang wajib berkhidmat. Maka wajib bagi suami menyediakan pembantu untuk isterinya. Sementara Abu Ishaq as-Syirazi dari kalangan Syafi’iyah dalam kitab Al-Majmu Syarah Al-Muhadzdzab disebutkan bahawa tidak wajib seorang isteri berkhidmat untuk membuat roti, memasak, mencuci dan bentuk khidmat lainnya, kerana yang ditetapkan (dalam pernikahan) adalah kewajipan untuk memberi pelayanan seksual (istimta), sedangkan pelayanan lainnya tidak termasuk kewajipan. Mazhab Hanabilah berpendapat bahawa seorang isteri tidak diwajibkan berkhidmat kepada suaminya, baik berupa menyedia bahan makanan, membuat roti, memasak, dan yang sejenisnya, termasuk menyapu rumah, menimba air di telaga.
Ulama kalangan Mazhab Zhahiri menyatakan bahawa tidak ada kewajiban bagi isteri untuk menyelanggara rumahtangga, membuat roti, memasak dan khidmat lain yang sejenisnya, walau pun suaminya anak khalifah/anak raja. Suaminya itu tetap wajib menyediakan orang yang boleh menyiapkan bagi isterinya makanan dan minuman yang siap makan, baik untuk makan pagi mahupun makan malam, serta wajib menyediakan pelayan (pembantu rumah) yang bekerja menyapu dan menyiapkan tempat tidur.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Ogos 2010 di pasaran...
Wednesday, August 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment